Friday, March 28, 2008

AKU BERSAMA PETRONAS


AKU BERSAMA PETRONAS

19 sept 1982 (Umur kira-kira 19 Tahun)

Ketika itu aku bekerja sambilan sebagai pembantu di Sofinaz Restoran Jalam Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Aku tengok iklan dalam akbar sebagai jawatan operator tapi tidak tahu operator apa sangkaan operator telefonlah, lalu memohon. Akhirnya surat jawapan sukacita untuk menjalani ujian IQ di pejabat Petronas, Ladang, Kuala Terenganu.

Pada hari ujian mereka yang lulus akan ditemudugakan. Berdebar juga dan lega apabila nama dipanggil. Waktu temuduga ditetapkan pada sebelah petang. Terdapat dua bilik disediakan, sambil menunggu seorang rakan baru iaitu Sidek Tawang menegur dan bersalaman.

Apabila nama dipanggil aku terus masuk dan memberi salam kepada empat orang kakitangan Petronas yang di tugaskan menemuduga aku. Mereka ialah En. Zaharan M. Alipiah, En. Zamri Abu, Siti Aisyah kalau tidak silap dan seorang lagi tidak ingat tapi pada masa itu tidak kenal lagi mereka semua.

Bermacam-macam soalan diajukan oleh mereka termasuk soalan yang menduga akal penuh dengan muslihat dan dijawab dengan tenang. Soalan dari En. Zaharan yang masih diingati ialah ‘bolehkah memanjat pokok kelapa’?

Pada lusanya En. Zaharan dan beberapa orang lagi penemuduga datang makan tengahari ditempat aku bekerja dan masih mengenaliku sambil tersenyum. Setelah seminggu tiada surat diterima seperti diberitahu semasa temuduga samada berjaya atau tidak. Sebulan berlalu surat sukacita diterima dan tarikh akhirnya hanya seminggu. Maka kelam kabut fotostat sijil-sijil dan foto pun tampal dengan nasi saja pada borang yang dikirimkan serta borang untuk pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan dibuat di Klinik Zakaria. Sedang menunggu nama di panggil tiba-tiba datang seorang lelaki dengan motosikal butir nangka (Honda CB)untuk menjalani pemeriksaan lantas menegurku, beliau ialah Hamzah Mat Hassan. Beliau mempelawa aku menumpangnya menaikki motosikal ke Hospital Besar Kuala Terengganu untuk menjalani pemeriksaan x-ray.

Ketika menunggu keputusan x-ray dua orang lelaki berkacamata hitam, salah seorangnya berbaju kemeja oren datang untuk mengambil keputusan x-ray. Salah seorang memperkenalkan dirinya Azam (Mat Anah Endut) dan seorang lagi Yoon Awang. Setelah berkenalan beliau mempelawa aku ke Kerteh waktu melapur diri bersamanya dengan menumpang kereta Yoon. Sangkaan keputusan x-ray siap pada masa itu, disuruh datang kembali pada esok hari.

Pada hari melapur diri tanggal 19hb. September 1982 selepas subuh kawan aku menghantar ke rumah Mat Anah di Kampung Tok Jiring (dah cari sebelum pergi). Dengan menumpang kereta sepupunya Zaki kerumah Yoon di Kampung Pulau Rusa. Dari Pulau Rusa ke Kampung Gong Tok Nasek mengambil seorang lagi rakan mereka yang akan melapur diri juga iaitu W Rosli. Dalam perjalanan kami berbincang untuk mencari rumah sewa atau tidur dihotel sementara waktu.

Setiba di Kerteh terus masuk Fasa 1 dan mendapati telah ramai orang melapurkan diri di kantin pejabat. Ada yang bertanyakan saya datang menghantar abang melapur diri maklumlah badan kecil. Setelah semua selesai kami dibahagikan dan tempatkan di Perumahan Petronas, Fasa 1 No. C4, Lorong 2. Fasa 2 masih dalam pembinaan dan Fasa 3 masih hutan. Keesokkannya kami dibawa menaikki kombi Wolksvegan ke Ban Bumiputra, Dungun untuk membuka akaun. Drebar masa itu Mohd Awang, Pakcik Yon dan rakan-rakannya (sekadar menyebut beberapa nama).

Makan minum beli kedai Pak Da ditepi pagar. Ramai juga mereka yang asyik kekedai Pak Da tu kerana disitu ada bunga. Hiduplah kami di C4 yang berpenghuni seramai 16 orang macam hospital. Makan minum di kantin. Wayang gambar diadakan sebulan sekali di bilik carigali. Hari minggu kalau tak balik kampong pergi ke Kuantan.

Dalam surat tawaran tu Jawatan Oil Movement Operator masih tak tau apa benda jawatan tu. Masa tu pass kerja MRC (Malaysia Refining Company). Kelas adalah dikantin, disurau dan akhirnya di bangunan Pentadbiran setelah beberapa kali berpindah. Aku masa tu terpaksa membeli sebuah kamus ‘Collin’ kerana masih kabur bahasa inggeris ni maklumlah aliran melayu. ‘Mat Salleh’ cakap pun antara faham dengan tidak kerana lorat yang berbeza seperti lorat Australia, British dan Belgium berbeza bunyinya. Maklumlah tenaga pengajar dari Syarikat Caltex. Kalau Ken Spratt cakap susahnya aku nak faham, apabila orang lain ketawa aku masih berfikir nak terjemah dalam kepala.

Semasa kelas dalam surau dudk sebelah meyebelah antara Operator Proses dan Operator Pemindahan Minyak. Suatu hari datanglah ‘Head Operator’ dan ‘Operation Manager’ baru balik menjalani latihan di Batangas, Filipina memperkenalkan diri, mereka ialah Mohd Hashim (arwah), BCI dan lain-lainnya. Giliran BCI bercakap ia mengatakan kerja kilang ni ‘kacang je’ maka lekatlah manager kacang diantara kami. Masa itu perintisnya kalau tak silap 70 orang termasuk bahagian pentadbiran. Gaji pokok RM495.00.

Peristiwa ni masih ingat lagi Sidek Tawang memberi hadiah kepada Maimunah katanya ada orang beri yang mengandungi ‘grinding dics’ yang besar. Semasa dalam kelas pagi dan petang menjalani peperiksaan. Pagi diberi buku ‘pilot series’ petangnya ujian. Petang diberi buku esok paginya ujian selama 3 bulan jugak belajar teori. Keputusannya boleh dikatakan baik semua maklumlah kami ni ‘intelligent’ very good networking.

Pada masa kami belajar kerja-kerja pembinaan logi berharga RM270 juta oleh Toyo Engineering masih rancak berjalan. Masuk bulan keempat kami diarahkan membuat ‘line tracing’dan dikehendakki melukis dalam kelas. Semasa line tracing ni susah nak bertegur sapa pasal nanti hilang punca kena mula dari awal. Ada satu ketika aku tak dapat nak terangkan dalam bahasa inggeris apa perlu di lakukan jika seseorang terbakar, maka aku lukis kartun saja dan ‘fire blanket’ tak sangka mendapat markah penuh yang diberikan oleh Peter Permentier.

Setelah enam bulan, logi akan ‘commisioning’. Masing-masing ditempat dikawasan masing-masing. Penerimaan minyak mentah pertama dari kapal melalui SPM, setelah siap TCOT barulah melalui saluran paip. Kerja kawasan ‘Marin Office’ ni bila musim penyu apa lagi naik diatas tangki D916, 914, 912, 919 dan 920 melihat jejak-jejak penyu kalau ada. Terambil telur penyu tu adalah…..satu masa tu tuan punya pemajak dating dengan senapang kerana telur penyunya hilang. Kami tidaklah tahu ada pemajak denagn Jabatan Perikanan nasib baik kawan saya tu tak kena tembak.

Sekitar logi yang masih dalam pembinaan ialah TCOT dan Carigali (Sludge Catcher). Kawasan PGB tu masih lagi ladang kelapa. Tenaga pengajar tinggal di kabin ditapak TNB dan Ethylene sekarang.

PPSB pada masa mula-mula dibuka mempunyai 37 biji tangki. Peristiwa tak dapat dilupakan ialah terjatuh keseorangan di dalam CPI semasa ‘skimming slop oil’. Mujur umur masih panjang dapat panjat dinding yang tinggi tu dan terus menanggal pakaian yang tinggal hanyalah spenda saja petang tu dan terus ke shower berhampiran. Setelah it uterus berlari balik ke Marine Office tinggal kereta Nissan Stanza disitu. Mandi bersih diri selama sejam di Yard Office dan buat lapuran kepada RSS masa itu Peter Permentier.

Musim pelarian Vietnam ramai juga mendarat ditepi pantai, Peter Blade RSS, Rosli Ibrahim PS dan rakan-rakan memberi bantuan dengan memberi air minuman dan membuat lapuran polis Kerteh.

Lagi satu peristiwa tak dapat di lupakan ‘air chamber metering skid’patah dan berlaku kebocoran diesel yang sedang buat penghantaran ke kapal. Aku dan Tan Say Kwee bermandikan diesel menutup MOV yang gagal berfungsi

Macam-macam peristiwa di saksikan semasa berada di PPTSB seperti kebakaran dilaut semasa pertukaran floating hose, tangki diesel D933 ‘overflow,’mengajar Ramli golok memandu pickup, nasib baik tak masuk dalam bio-pond. Aku suruh tekan brek dia tekan minyak lantas aku tarik hand brake. Tok guru aku belajar pick up ialah Sulaiman Ismail kini di MTBE Port Kuantan . Member yang paling panakut kalau kerja malam ialah Rozi Husin kini di Port PFK balik Kedah, kalau sorang diri mampus tak pergi kawasan tangki D916. PS aku masa di Oil Movement ialah arwah Mohd Hashim dan Mohd Yunus Mohd Yusof kini di INSTEP. Geng syif aku ialah Mat Anah, Shamsudin Jusoh, Sulaiman Ismail dan Rozi Husin pada mulanya kalau tak silap.

Yang paling berat sekali ialah bila ada kapal loading fuel oil (LSWR) kerana kena buat line flushing dan tank valve (injap tangki D919) saiz 30 inci dan berat, ianya mengambil masa 15 hingga 20 minit non stop kalau buka seorang diri kerana tiada MOV. Pernah kerja dua orang saja aku dan Ramli Abdullah semasa loading fuel oil kerana PS pada masa tu Nordin Seman tak mahu panggil orang buat kerja lebih masa. Aku dengan Ramli buat flushing, fuel oil line displacement, gauging hinggalah mula loading.

Ada pulak sidia tu buat draining reformate sampai mampus ikan-ikan dalam bio-pond, kena bersih pulak.

Setelah empat tahun kami berpindah ke Dorm 232 Fasa 3 baru siap. Aku sebilik dengan Husin black (maaf gelaran glamour masa tu). Razaki Muda dengan W Rosli, Kamsin dengan Zubir, Sulaiman denagn Ramli dan seterusnya. Kami kongsi memasak. Kalau kerja malam bila bangun nak makan tengok ikan masak kicap dah tau siapa yang memasak hari tu ialah Sidek, kalau ikan goreng Husin black, Aku masak ikan singgang jer. Ada ker Razaki Muda memasak telur asyik kacau macam gulai ikan. Ketika pembersihan ‘fire water tank’ banyak ikan tilapia dibawa balik lalu disimpam dalam peti di Dorm 232 Fasa 3. Apa bila hendak memasak keesokkannya dapati hilang…bukan kena curi, Sidek buang dalam tong pasal bau hanyir. Lucunya.

1 Jan 1986 (Umur kira-kira 23 Tahun)

Masa tenang ketiadaan kapal inisiatif aku ialah belajar ‘Dandang dan Kemudahan’ (B & U) akhirnya aku sertai proses setelah empat tahun di Marine (Oil Movement). Semasa jadi operator B & U saat paling teruk ialah pikul garam 25kg untuk ‘regent softener’ dan regent Demineralizer Plant kerana mengangkat Sulfrik Acid 98% kepekatan.

1 Jul 1990 (Umur kira-kira 27 Tahun)

Senior Process and Utility Operator dua tahun dan CRU dua tahun. Biasanya E1109 selalu aja terbakar kat ‘floating head’ semasa starting up. Maaf hampir lupa tag nombornya. Jangan-jangan nombor Packinox.

Satu hari semasa starting up aku ternampak Azman (Man kuda kini PPMSB) dan mengikuti dari belakang menuju ke kawasan compressor tiba-tiba menghilang. Cari sekeliling dan sekitarnya tidak ada tapi tak kisahlah mungkin dia ketempat lain. Apabila aku sampai ketempat relau (furnace) aku bertanyakan dia cepatnya dia kesini. Apa yang dijawab olehnya dia tidak kemana-mana sejam dah disitu mengawal furnace, jadi siapakah dia yang aku ikuti tadi? Peristiwa ini tidak diberitahu bimbang kawan-kawan lain tidak pergi mengambil bacaan peralatan dalam logi.

1 Jul 1994 (Umur kira-kira 31 Tahun)

Akhirnya aku jadi Lead/Panel @ Steelman (Prosess and Utility). Semasa diproses bermacam kemalangan yang disaksikan seperti Furnace Explosion, Boiler Explosion, Underground sewer caught fire during pipe cutting. P102A terbakar, clorine container explosion dan macam-macam tapi Alhamdulillah tiada kematian atau kecederaan teruk berlaku.

Dulu kerja tiga pusingan syif selama lima hari Pagi masuk jam 0730 – 1530 dan rehat dua hari, petang 1530 – 2330 rahat sehari dan malam 2330 – 0730 rehat tiga hari. Semasa nak tukar tiga syif ke dua syif seperti kini ramai juga tak setuju tapi bila dah cuba rasa seronok pula. Bila hari rehat kalau tak balik kampung mulalah rancang melancung kenegeri di semenanjung.

Dan banyak lagi kenangan di PPSB yang kalau nak tulis boleh jadi novel ni.
1982 MRC
1983 PPSB
1985 PP(TSB) masa ni PP(M)SB dah mula dibina.

1 April 1998 – 31 Sep 2001 Aku mulai melangkah keluar menyertai BPPA (BP PETRONAS Acetyls Sdn Bhd), ketika ini Aromatic plant dalam pembinaan.

1 May 2001 Mulai menyertai PGB kerana LOYALTY dengan Petronas walaupun BPPA menawarkan sebanyak dua kali dan gaji lebih tinggi. Selama dua tahun setengah di logi GPP56 pergi pula ke Export Terminal (ET) teringat pula semasa di seksyen OMS PPTSB pasal ada kapal tapi di sini tak adalah buat g’gauging atau ambil ullaging’. Setelah dua tahun setengah di ET berpindah ke logi PGB, Kerteh. Semasa lakaran ini ditulis sbaru lapan bulan berada di PGB Kerteh dipanggil pula bertugas di PGB 56, Tok Arun Paka mungkin bulan April 2008 nanti.

Oh ya pasal apa orang panggil saya Zul Kecik? Kerana ramai sangat nama Zul, ada Zul Gemuk (Zulkifli Ahmad kini dah pencen masih kontrak Ethylene, Zul Panjang (Zulkifli Ijab-Tinggi-pasir gudang), Zul Putek (Kini di VCM) dan Zul Jebeng (Jambang) agar tidak terkeliru.

Harap maaf seandainya tulisan ini terdapat perkataan yang tidak menyenangkan tidak bermaksud menguris perasaan anda hanaya sekadar mengimbau kenangan. Banyak lagi kenagan yang nakal-nakal yang rasanya tidak perlu ditulisan. Kalau cerita hantu memang banyak sampai pagi baru pergi ambil 'reading' pun ada, rusa masuk dalam pagar PPSB, pak Omar dapat, terambil telur penyu........

Tahun ini umur aku telah mencecah 45 tahun dan tahun ini Anugerah 25 Tahun bersama PETRONAS, InsyaAllah kita jumpa disana. Akhir kata semuaga semua sehat walafiat dan di rahmati Allah selalu. Kepada rakan-rakan yang telah pergi buat selamanya semuga Allah mencucuri RahmatNya keatas roh beliau.

Wassalam.

Yang benar
Zulkafli bin Abd Razak
Lot 692 No.12 Jalan Melati
Kampung Baru
24300 Kerteh
Terengganu Darul Iman
Malaysia

Sekian nukilan dari aku ‘They Call Me Zul Kecik’-email zackrazz@yahoo.com

+6 013-9709028
17 Sept 2010 = 08 Syawwal 1431H -Updated

1 comment:

MAGDUNTER.net said...

Menarik.serba sedikit dpt tahu sejarah org dulu2 di paka.