ALOR GAJAH - Seorang warga emas maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Yahya Mohd Talip, 69, yang memandu kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad berkata, mangsa yang beralamat di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dan dinaiki tiga penumpang, dipercayai telah mengekori rapat kereta mangsa.
Katanya, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan terbabit.
"Akibat pelanggaran itu kenderaan mangsa telah memasuki ke laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.
"Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala pemandu berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian bibir dan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kesemua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.